
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/Tarmizi Karnain
KUCHING, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 20 orang peserta menyertai lawatan rombongan jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BPP) Balingian ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yaakub Arbi berkata program sempena Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak Ke-19 itu menyasarkan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai sistem pentadbiran negeri.
Mereka yang hadir berpeluang menyaskikan sendiri perjalanan persidangan dewan.
“Program ini penting bagi memberi pendedahan secara langsung kepada rakyat mengenai peranan institusi legislatif dalam pembangunan. Melalui lawatan seperti ini, peserta dapat mengenali dengan lebih dekat peranan wakil rakyat dalam membela kebajikan masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Peserta turut diberi penerangan mengenai proses sesuatu usul dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan sebagai dasar atau enakmen negeri.
Seorang peserta, Mohd Tarmizi Karnain, 28, berkata program tersebut memberi peluang kepada rakyat memahami fungsi institusi kerajaan secara lebih dekat.
“Lawatan seperti ini menggalakkan ketelusan kerana rakyat dapat melihat sendiri proses persidangan dan bagaimana keputusan dibuat,” katanya.
Bagi Nurul Amizan Madeli, 32, pendedahan kepada sistem demokrasi mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kestabilan politik dan keharmonian negeri.
-RJ





