
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wenanddo (Mukah)
MUKAH, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Lebih 80 peserta dari sekitar daerah Mukah menyertai Program Akikah Perdana dan Kursus Penyembelihan Binatang Qurban/Aqiqah Tahun 2026/1447H pagi semalam.
Program yang berlangsung di Masjid Setiaraja Mukah tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Beliau turut menyumbangkan seekor lembu bagi kegunaan sesi praktikal kursus penyembelihan serta Program Akikah Perdana di masjid berkenaan.
Royston berkata penganjuran program itu merupakan inisiatif penting dalam memberi pendedahan secara teori dan amali kepada masyarakat menjelang Hari Raya Aidiladha.
“Program seumpama itu bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai hukum-hakam penyembelihan, malah membantu memastikan setiap proses qurban dan aqiqah dilaksanakan dengan sempurna serta menepati syariat,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen Jawatankuasa Pengurusan Masjid Setiaraja Mukah yang terus aktif melaksanakan program keagamaan demi manfaat penduduk setempat.
“Program seperti ini amat baik kerana ia memberi peluang kepada masyarakat untuk mempelajari teknik penyembelihan yang betul selain memahami aspek kebersihan dan keselamatan,” katanya.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan syarat sah penyembelihan, kaedah pengendalian haiwan, penggunaan peralatan sesuai serta teknik melapah daging.
Peserta juga mengikuti sesi demonstrasi secara langsung yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang penyembelihan halal.
Rata-rata peserta menyambut baik penganjuran program tersebut dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang kerana memberi manfaat besar kepada generasi muda.
Selain memperkukuh ilmu ibadah, program itu menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti gotong-royong.
Aktiviti kemasyarakatan tersebut diakhiri dengan jayanya melalui sesi penyediaan makanan akikah secara bersama oleh para peserta dan penduduk kampung.
-RJ-





