Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

EPIC Berhad Rai Pengamal Media Pada Malam Apresiasi Media 2026

By 23 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menganjurkan Malam Apresiasi Media 2026 bertemakan EPIC Press & Petals sebagai penghargaan kepada pengamal media yang menjadi rakan strategik dalam menyampaikan informasi serta perkembangan semasa syarikat kepada masyarakat.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham di Hotel Primula, di sini kelmarin.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada EPIC Berhad dan seluruh warga media di Terengganu yang sentiasa komited menyalurkan maklumat tepat, sahih dan terkini kepada rakyat.

Menurut beliau, media masa kini bukan sekadar melaporkan berita, malah berperanan membentuk pemikiran masyarakat, memperkukuh keyakinan awam serta menjadi penghubung penting antara kerajaan, industri dan rakyat.

“Hubungan erat antara kerajaan negeri dan media amat penting bagi memastikan penyampaian maklumat yang telus, berkesan dan mampu mewujudkan ekosistem komunikasi yang matang serta konstruktif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Muhtar Suhaili, berkata media memainkan peranan besar dalam memperkasakan penyampaian maklumat berkaitan pembangunan industri dan ekonomi negeri secara beretika dan berwibawa.

Tambah beliau, liputan media terhadap pencapaian syarikat termasuk pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut membantu memperkukuh reputasi EPIC Berhad sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negeri.

Beliau turut memaklumkan projek laluan pemisah East Coast Rail Link (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman kini giat dilaksanakan termasuk kerja penambakan tanah seluas 56 ekar yang dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2026.

Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 100 pengamal media daripada pelbagai agensi media cetak, elektronik dan digital di Terengganu yang turut menerima plak serta sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas sokongan berterusan mereka.

-AA-

Tinggalkan komen anda