Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Masjid Darul Ibadah Sungai Alo Dinaik Taraf, Masjid Baharu Bakal Dibina

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Tarmizi Karnain (Mukah)

MUKAH, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Masjid Darul Ibadah Kampung Sungai Alo menerima pengiktirafan rasmi sebagai masjid sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai pusat ibadah dan pembangunan syiar Islam di kawasan berkenaan.

Majlis penyerahan Sijil Naik Taraf Surau kepada Masjid Darul Ibadah Kampung Sungai Alo disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi di sini hari ini.

Sijil berkenaan disampaikan oleh Muhammad Adib Saini kepada Pengerusi Masjid Darul Ibadah Kampung Sungai Alo Yusuf Lai.

Abdul Yakub berkata pengiktirafan tersebut amat signifikan dalam memperkukuhkan fungsi institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan agama dan perpaduan ummah.

“With pengiktirafan ini, masjid bukan sahaja menjadi tempat menunaikan ibadah, malah akan terus berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti Islam dan platform pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan Masjid Kampung Seberang Mukah di Lot 700, Block 53, Mukah Land District dengan kos keseluruhan RM14.8 juta.

Menurut beliau projek tersebut asalnya melibatkan cadangan pembinaan surau di Kampung Litong dengan peruntukan RM4.8 juta sebelum dipinda kepada pembinaan masjid baharu di Kampung Seberang.

“Premier Sarawak bersetuju meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta demi memastikan projek pembinaan masjid ini dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan selesa untuk masyarakat,” katanya.

Abdul Yakub menjelaskan keputusan itu dibuat kerana kawasan Kampung Seberang ketika ini belum mempunyai masjid sendiri bagi menampung keperluan solat Jumaat.

Yusuf Lai menyambut baik pengiktirafan status tersebut dan berharap ia dapat terus memperkukuhkan syiar Islam di Kampung Sungai Alo serta kawasan berhampiran.

“Status baharu ini sekali gus memberikan semangat kepada jawatankuasa pengurusan untuk terus mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya.

Ketua Kampung Sungai Alo Ali Hamid merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan dana pembinaan Masjid Kampung Seberang yang dijangka memberi keselesaan kepada penduduk.

Kemudahan itu membolehkan penduduk sekitar menunaikan solat Jumaat dengan lebih dekat tanpa perlu pergi ke Masjid Setia Raja di bandar Mukah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda