
Laporan/foto: Khairul Othman/Sharil Alias (Negeri Sembilan)
PORT DICKSON, 4 Mei (MalaysiAktif) – Penganjuran Nismilan Water Music Festival 2026 yang berkonsepkan hiburan muzik dan aktiviti rekreasi air pada 1 dan 2 Mei lepas berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung ke Pantai Saujana (Batu 4), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon. berkata program berkenaan selari dengan usaha kerajaan negeri merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi percutian pilihan utama di Malaysia.
“Negeri diberi kebebasan untuk menonjolkan keunikan masing-masing, terutama budaya tempatan. Di Negeri Sembilan, kami menggunakan laut dan pantai sebagai identiti utama, selain mengetengahkan sembilan identiti negeri ini sebagai keunikan yang tersendiri,” katanya di sini, kelmarin.
Beliau berkata kehadiran memberangsangkan itu membawa limpahan ekonomi secara langsung kepada rantaian perniagaan setempat dengan lebih 120 pengusaha gerai, trak makanan serta restoran di sekitar kawasan tersebut menerima manfaat sepanjang festival berlangsung.
Festival itu juga katanya merupakan antara inisiatif kreatif bagi mempromosikan kelebihan alam semula jadi di Port Dickson.
-RI





