Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Ombak Farm Beach & Cafe Tarikan Baharu Riadah Pantai di Oya

By 19 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Erwan Asbor (Mukah)

OYA, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Ombak Farm Beach & Cafe kini muncul sebagai antara destinasi riadah pantai pilihan di Oya dengan menawarkan konsep santai berlatarkan pemandangan pantai serta matahari terbenam yang menarik.

Pengusahanya, Erwan Asbor, 44, berkata kawasan seluas lebih tujuh ekar itu asalnya merupakan tanah pertanian keluarga yang ditanam dengan kelapa pandan sebelum diubah menjadi pusat riadah bersama ahli keluarganya.

Menurut beliau, idea membangunkan lokasi tersebut tercetus hasil pengalaman dalam pelbagai bidang pekerjaan dan perniagaan sebelum ini yang mendorongnya membawa kelainan kepada kawasan kampungnya sendiri.

“Pada awalnya saya hanya mahu menyediakan satu tempat santai untuk orang ramai beristirehat sambil menikmati suasana pantai dan deruan ombak, terutama pada hujung minggu dan musim cuti.

“Namun, selepas melihat sambutan yang semakin menggalakkan, saya mula berfikir untuk menambah pelbagai kemudahan bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, kelmarin.

Beliau berkata Ombak Farm Beach & Cafe mula diusahakan pada tahun 2018 menerusi kerja pembersihan kawasan dan pembinaan infrastruktur asas sebelum kini memasuki tahun kelapan operasi pada 2026.

Katanya, pelbagai fasiliti disediakan secara berperingkat termasuk kawasan barbeque (BBQ), khemah pelbagai saiz, pondok istirehat, meja dan kerusi serta kedai minuman bagi memenuhi keperluan pengunjung.

Tambah beliau, sokongan masyarakat setempat serta galakan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah menjadi pembakar semangat untuk terus memajukan kawasan tersebut sebagai produk pelancongan komuniti di Oya dan Dalat.

Ombak Farm Beach & Cafe terletak di sebelah kanan jalan utama sebelum Simpang Tiga dari Mukah menuju ke Oya dan Dalat, dan premis itu dibuka setiap hari dengan bayaran RM50 bagi penggunaan fasiliti tanpa had masa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda