
Laporan/foto: Iswandi Kassim/Safariza Bujang (Sri Aman)
SRI AMAN, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 40 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih di daerah Sri Aman dan Pantu menerima bantuan baucar tunai menerusi Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan Tahun 2026, semalam.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata bantuan melibatkan implikasi kewangan keseluruhan sebanyak RM20,000 itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
Menurut Doris, seramai 20 orang penerima adalah dari daerah Sri Aman manakala 20 lagi dari daerah Pantu dengan setiap penerima menerima baucar tunai bernilai RM500.
“Pelaksanaan program ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Kerajaan sentiasa prihatin untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan menyeluruh, selain membina keupayaan golongan sasar supaya mampu berdikari serta meningkatkan pendapatan keluarga dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Sejahtera MADANI Skop Kebajikan Tahun 2026 di perkarangan sebuah pasar raya, di sini semalam.
Doris menjelaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan rakyat bagi memastikan setiap program mencapai matlamat ditetapkan.
“Saya ingin menegaskan bahawa agenda membasmi kemiskinan merupakan tanggungjawab bersama di mana kerajaan menyediakan dasar dan bantuan, agensi melaksanakan program, manakala rakyat sebagai penerima perlu memanfaatkan peluang dengan penuh kesungguhan untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” katanya.
Mengulas statistik semasa, beliau memaklumkan sehingga Mei, Bahagian Sri Aman merekodkan seramai 1,374 individu berada dalam kategori miskin dengan Daerah Lubok Antu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 534 orang, diikuti Sri Aman (447 orang), Lingga (239 orang) dan Pantu (154 orang).
-RJ-





