
Laporan/foto: Aini/Anuar (Perlis)
KANGAR, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak petrol di kawasan sempadan Kuala Perlis menerusi Op Tiris 4.0, malam tadi.
Pengarahnya, Rohaida Hassan berkata operasi pada 8 malam itu menemukan sebanyak 28 tong Jerry Can mengandungi cecair disyaki minyak petrol bersama sebuah motosikal jenis Honda Beat bernombor pendaftaran tempatan dipercayai digunakan untuk mengangkut minyak petrol ke lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 32 tahun itu gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Sebanyak 840 liter minyak petrol telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM1,932, selain sebuah motosikal Honda Beat bernilai RM2,000 serta 32 unit tong Jerry Can bernilai RM320, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM4,252,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Rohaida turut menegaskan KPDN Negeri Perlis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket serta aktiviti penyelewengan barang kawalan.
Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 18 kes telah disiasat di bawah akta berkenaan di Perlis bagi tahun ini dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM322,587.
-AA-





