
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/ Persatuan Karate Labuan
LABUAN, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Persatuan Karate Wilayah Persekutuan Labuan terus mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih satu pingat emas dan empat gangsa dalam Kejohanan Karate Kebangsaan Bawah 14 Tahun, Kadet, Junior dan Bawah 21 Tahun Kali Ke-34 di Dewan Konvensyen Bukit Raja, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Selangor pada 30 April hingga 3 Mei lepas.
Menurut Presiden Karate Labuan Aswadee Taba, pencapaian paling menyerlah diraih oleh atlet muda, Diya Khalish Kasryanto, 17, yang melakar hatrik kejuaraan kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut bagi kategori Kumite Perempuan Junior 16-17 Tahun bawah 66 kilogram (kg).
“Atlet itu yang kini menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu sekali lagi membuktikan keupayaan, ketahanan serta konsistensi prestasi di pentas kebangsaan.
“Nur Ariesya Dayana Asmadie, 14, dan kembarnya Nur Aleesya Dayana Asmadie,14, masing-masing menyumbang pingat gangsa dalam kategori Kumite Perempuan Kadet 14-15 Tahun bawah 47kg dan bawah 54kg selain Dayang Dania Aniezah Zulkifli, 17, menyumbang gangsa dalam kategori Kumite Perempuan Junior melebihi 66kg,” katanya semasa ditemui media, di sini hari ini.
Dalam kategori lelaki, Ayqal Mohd Dzulfadly, 13, turut menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori Kumite Lelaki Bawah 14 Tahun bawah 55kg, meskipun membuat penampilan sulung di kejohanan kebangsaan.
“Pasukan Karate Labuan berjaya menduduki tempat ke-11 daripada 34 pasukan yang terdiri daripada negeri dan kelab dengan penyertaan seramai 1,026 atlet dari seluruh negara.
“Pencapaian ini membuktikan perkembangan positif serta potensi besar atlet-atlet Labuan untuk terus bersaing dan mencabar di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
-AA-





