
Laporan/foto: Marshita Othman/Nur Haziqah Nabilah (Kerian)
KERIAN, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Satu lagi langkah ke arah memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam direalisasikan menerusi Majlis Penyerahan Kunci Kompleks Daerah Kerian menandakan siapnya sebuah kompleks pentadbiran baharu yang moden dan kondusif menempatkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan di bawah satu bumbung.
Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad, berkata ini adalah salah satu pencapaian dalam usaha memperkukuh insfrastruktur pentadbiran negeri.
“Kompleks ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti pentadbiran yang moden dan efisien, sekali gus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih responsif serta berfokuskan rakyat,” katanya pada program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) siri ketiga di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian, di sini kelmarin.
Penyerahan kunci telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) Zulkefli Abdullah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Norsham Rahman.
Menurut Zulkefli, pembinaan kompleks ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih selesa dan sistematik kepada kakitangan serta pelanggan.
“Kompleks ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada penjawat awam, malah turut memberi impak positif kepada masyarakat setempat dari segi akses perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien,” ujarnya.
Inisiatif ini dilihat mampu meningkatkan kecekapan urusan harian selain memudahkan orang ramai berurusan tanpa perlu ke lokasi yang berbeza selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
-AA-





