
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Felix Harus/Jackson Abell (Bau)
BAU, 4 Mei (MalaysiaAktif) –Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 Batu Kawa memperkukuh pemantauan di stesen minyak sekitar daerah ini bagi memastikan kestabilan bekalan bahan api dan keselamatan awam sentiasa terjamin.
Operasi pemantauan bersepadu seawal pagi itu melibatkan lokasi tumpuan di Stesen Minyak Shell Bau dan Petronas Tasik Biru bagi memastikan urusan harian pengguna berjalan lancar.
Sarjan Hazaimi Suhaili berkata pemantauan di Stesen Minyak Shell Bau memfokuskan kepada pematuhan prosedur pengisian serta mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di lapangan.
“Pendekatan turun padang ini membolehkan kami bertindak pantas sekiranya timbul sebarang isu bagi memastikan bekalan di peringkat daerah sentiasa mencukupi,” katanya kepada Malaysia Aktif, kelmarin.
Tambah beliau, kerjasama erat antara pasukan keselamatan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kepentingan pengguna setempat.
Sementara itu, pemantauan di Stesen Minyak Petronas Tasik Biru dijalankan oleh Koperal Abdul Shahmad Ahmad bagi mengelakkan berlakunya pembelian panik atau penyelewengan bekalan.
Beliau menjelaskan bahawa kehadiran anggota di lapangan secara berterusan adalah langkah pencegahan penting untuk mengekalkan kestabilan bekalan bahan api.
“Kehadiran pihak berkuasa bukan sahaja memastikan pematuhan undang-undang, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan pengurusan situasi semasa,” katanya.
Menurut beliau, anggota bertugas turut mengamalkan pendekatan mesra melalui interaksi dan nasihat bagi memudahkan urusan orang awam.
Inisiatif penguatkuasaan ini akan terus diperkasa bagi memastikan kesejahteraan dan ketenteraman penduduk di seluruh daerah Bau sentiasa terpelihara.
-RJ-






