Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Pelajar PSP Buktikan Kemahiran TVET, Siap Tiga Gelanggang Bola Pikel

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Viji Kiruthika Sondararaj

PERMATANG PAUH, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Tiga gelanggang bola pikel yang berjaya disiapkan oleh pelajar-pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP), membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan tenaga kerja mahir dan berkualiti.

Menerusi Kursus Mengecat Gelanggang yang menggunakan kepakaran syarikat Bina Paint Industries Sdn. Bhd., para pelajar didedahkan secara langsung kepada teknik penyediaan permukaan lantai, proses bancuhan bahan, aplikasi lapisan cat gelanggang, ukuran garisan permainan bola pikel serta kaedah kerja profesional yang menepati piawaian industri.

Pengarah PSP Mohd Ruzi Hamzah berkata projek tanggungjawab sosial (CSR) pembinaan gelanggang bola pikel itu merupakan satu inisiatif yang amat membanggakan kerana berjaya dilaksanakan melalui semangat gotong-royong dan kerjasama erat antara pelajar serta staf PSP.

“Pelajar PSP bukan sahaja didedahkan kepada program pengajian masing-masing, malah turut diberi peluang mengikuti teknik dan kursus berfaedah yang mampu meningkatkan kemahiran mereka,” katanya, kelmarin.

Bimbingan tenaga pengajar industri Wan Fadil Aidi Ahmad melalui pendekatan pembelajaran secara amali itu memberi peluang kepada pelajar menguasai kemahiran sebenar dalam bidang teknikal, penyelenggaraan fasiliti sukan secara lebih menyeluruh serta amalan terbaik dalam kerja-kerja penyediaan gelanggang sukan mengikut standard industri semasa.

Kursus yang berlangsung tiga hari itu bukan sahaja memperkasa kemahiran teknikal pelajar melalui pengalaman pembelajaran sebenar di lapangan, malah turut memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan pihak industri dalam melahirkan graduan yang kompeten serta bersedia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Inisiatif tersebut membuktikan pelajar TVET bukan sahaja mampu menguasai teori di bilik kuliah, malah berupaya mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam projek sebenar yang memberi manfaat kepada institusi serta komuniti setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda