Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pelajar Disaran Manfaat Peluang Pendidikan, Tingkat Diri

By 5 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wenanddo (Mukah)

MUKAH, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Pelajar disaran memanfaatkan peluang pendidikan serta terus berusaha mempertingkatkan diri demi masa depan yang lebih cerah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata pendidikan merupakan kunci kejayaan yang perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk membina masa depan lebih baik.

Beliau menjelaskan penguasaan ilmu bukan sahaja untuk kegunaan diri sendiri malah memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat.

“Usaha berterusan memberi penghargaan sebegini diharap menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, di sini kelmarin.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM serta mengiktiraf peranan guru dan sokongan ibu bapa.

Beliau dalam pada itu menegaskan pemberian insentif tersebut bertujuan menyuntik semangat pelajar untuk terus mencapai kejayaan lebih tinggi pada masa hadapan.

Sebanyak RM66,800 insentif disalurkan melibatkan pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, SMK Three Rivers, SMK St Patrick Mukah serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah.

Seramai 49 penerima adalah dari SMK Mukah, diikuti 67 dari SMK Three Rivers manakala 26 penerima lagi dari SMK St Patrick Mukah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda