Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Muzium Limbungan Brooke Jadi Destinasi Warisan Terbaharu Sarawak

By 5 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Chan Siew Fong (Sarawak)

KUCHING, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke yang mempamerkan warisan maritim serta pembangunan awal Sarawak kini menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.

Brooke Dockyard yang asalnya limbungan kapal tertua di Malaysia kini berubah wajah daripada tapak perindustrian kepada muzium warisan industri bertujuan bagi mempamerkan kesan Revolusi Perindustrian di Sarawak untuk tatapan generasi masa hadapan.

Petugas muzium Muhammad NurFiyaz Naim Lee berkata destinasi tersebut menerima lebih 10,000 pengunjung sejak pembukaannya pada 21 April lepas.

“Kebanyakan pengunjung teruja dengan sejarah maritim Sarawak serta lebih memahami proses pembinaan kapal melalui galeri bertema yang disediakan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif kelmarin.

Muhammad NurFiyaz berkata muzium tersebut turut menjadi destinasi rekreasi yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung pelbagai lapisan umur.

Menurutnya, beberapa galeri utama disediakan bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai evolusi Sarawak termasuk Galeri Gear dan Enjin Unggul serta replika kapal HHY Zahora.

Galeri lain yang turut menjadi tumpuan ialah Galeri Kembali ke Masa Silam, Galeri Sungai dan Kapal, Galeri Lelaki Perkasa serta Galeri Revolusi.

Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke kini dibuka kepada orang awam secara percuma dari 9 pagi hingga 4.45 petang setiap Isnin hingga Jumaat, manakala waktu operasi pada Sabtu, Ahad serta cuti umum pula bermula dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda