
Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)
ALOR SETAR, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Balai Besar di Alor Setar, di sini terus kekal sebagai mercu tanda bersejarah utama negeri Kedah yang menjadi simbol keagungan institusi diraja serta pusat pelbagai istiadat penting sejak abad ke-18.
Bangunan bersejarah dikenali sebagai Balai Besar Kedah itu dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Kedah yang ke-19, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II, berfungsi sebagai balai penghadapan serta lokasi rasmi pelbagai upacara diraja termasuk istiadat pertabalan dan majlis rasmi kerajaan negeri.
Struktur asalnya dibina menggunakan kayu cengal dengan seni bina Melayu tradisional yang halus dan unik, selain turut menampilkan pengaruh seni bina asing hasil perkembangan zaman.
Keunikan tersebut menjadikan Balai Besar antara bangunan warisan yang masih mengekalkan nilai estetik serta sejarahnya sehingga hari ini.
Sejak pembinaannya, Balai Besar telah menjadi saksi kepada beberapa peristiwa penting negeri termasuk istiadat pertabalan dua Sultan Kedah, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pusat adat istiadat diraja yang berprestij.
Selain itu, kedudukan Balai Besar yang terletak di tengah bandar Alor Setar turut dikelilingi beberapa bangunan warisan lain seperti Masjid Zahir, Balai Nobat dan Muzium Negeri Kedah, menjadikannya sebahagian daripada laluan pelancongan warisan penting di negeri ini.
Hari ini, Balai Besar terus menjadi tumpuan pelawat dari dalam dan luar negara yang ingin menghayati sejarah kesultanan Kedah serta memahami peranan institusi diraja dalam membentuk identiti negeri sejak dahulu hingga kini.
Keutuhan Balai Besar sebagai warisan sejarah bukan sahaja mencerminkan keagungan tradisi diraja Kedah, malah menjadi simbol kesinambungan budaya dan identiti bangsa yang wajar dipelihara agar terus diwarisi oleh generasi akan datang.
-RI







