
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu) / IPD Lundu
LUNDU, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Beberapa jalan utama di daerah ini akan ditutup sementara bagi memastikan kelancaran Program Must Fight Drugs Run 2026, Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram menjelaskan penutupan jalan bermula 5.30 pagi hingga 9.30 pagi melibatkan laluan utama sekitar Pekan Lundu dan Lebuhraya Pan Borneo.
Menurut beliau, antara laluan yang terlibat ialah susur masuk Lebuhraya Pan Borneo dari arah Sematan ke Pekan Lundu melalui Q141 Jalan Akses Lundu serta susur masuk flyover Lebuhraya Pan Borneo dari arah CENTEX Lundu ke Jalan Akses Pekan Lundu yang akan ditutup sementara sepanjang program berlangsung.
“Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, orang ramai disaran menggunakan laluan alternatif yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengguna jalan raya dari arah Sematan digalakkan menggunakan simpang masuk Lundu Bypass di Stunggang, manakala pengguna dari arah Bau disaran menggunakan laluan P-Turn Kampung Bagak sebelum memasuki simpang Lundu Bypass di Stunggang.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan pihak trafik dan berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat.
“Dalam masa sama, peserta larian diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan Lebuhraya Pan Borneo bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak,” ujarnya.
Katanya lagi, kerjasama masyarakat amat dihargai dalam memastikan program tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
-RJ-





