Skip to main content
SarawakRencana & Pendapat

Lerek Yap Abek Megang Perkaya Warisan Masakan Tradisional Sarawak

By 15 Mei 2026Mei 18th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)

MIRI, 15 Mei (MalaysiaAktif)Lerek yap abek megang, hidangan tradisional etnik Kayan berasaskan bubur ayam dan sawi kering, terus menjadi antara makanan warisan masyarakat Orang Ulu yang memperkayakan kepelbagaian kulinari tradisional Sarawak.

Hidangan tersebut merupakan bubur nasi yang dimasak bersama ayam dan rempah-ratus seperti halia, bawang putih serta serai sebelum ditabur serbuk sawi kering atau dikenali sebagai abek megang dalam dialek Kayan.

Kaedah pengeringan sawi itu dipercayai wujud daripada keperluan masyarakat Kayan menyimpan lebihan hasil tuaian sawi ketika musim penanaman padi bukit pada zaman dahulu sebelum adanya peti sejuk.

Sawi kecil atau abek uk akan dibersihkan, dijemur di bawah matahari sehingga kering sebelum dihancurkan menjadi serbuk halus bagi memudahkan penyimpanan dan digunakan dalam masakan.

Keunikan hidangan itu turut dikongsi melalui budaya kahwin campur pasangan Iban-Kayan, Mening Jambil, 55, dan isterinya, Puyang Jok, 51, dari Kampung Long Panai, Tutoh Baram.

Menurut Puyang, suaminya pada awalnya kurang menggemari hidangan tersebut namun mula menyukainya selepas beberapa kali mencuba.

“Selain bubur ayam sawi kering, serbuk sawi kering ini juga boleh ditambah pada makanan lain seperti daging atau ikan, bergantung kepada cita rasa masing-masing,” katanya ketika ditemu bual di Kampung Long Panai, Tutoh Baram, di sini kelmarin.

Sementara itu, pesara guru, Manudin Tassim, 60, berkata penggunaan sawi kering menjadikan bubur ayam lebih enak dan membuka perspektif baharu mengenai cara masyarakat Orang Ulu memanfaatkan sayuran.

“Rupa-rupanya bubur ayam yang saya gemari selama ini menjadi lebih sedap apabila ditambah sedikit sawi kering,” katanya ketika ditemui di Lawas kelmarin.

“Kami masyarakat Melayu di Lawas memang tidak pernah terfikir untuk mengeringkan sayur sawi seperti yang dilakukan oleh masyarakat Orang Ulu,” ujarnya lagi.

Bagi pengurus kedai makan, John Ngo, lerek yap abek megang merupakan makanan tradisional sihat yang perlu dipelihara agar tidak dilupakan generasi muda.

-RJ-

Tinggalkan komen anda