
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Langkah penyelarasan keutamaan perbelanjaan mengurus bagi setiap kementerian mula menunjukkan hasil positif tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam serta pelaksanaan program kementerian.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Keutamaan terus diberi kepada pengukuhan perkhidmatan barisan hadapan atau frontliners, khususnya dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata demikian pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Sementara itu, menurutnya langkah berhemah menerusi penganjuran sambutan-sambutan termasuk Hari Belia, Hari Guru dan pelbagai acara rasmi kerajaan pada skala sederhana tanpa menjejaskan objektif dan pengisian program turut meraih penghargaan Perdana Menteri.
“Pendekatan kesederhanaan ini penting dalam memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemat dan berfokus, selaras dengan usaha mengutamakan kebajikan rakyat serta keperluan semasa negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Anwar mengarahkan agar semua kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun melaksanakan program serta aktiviti rasmi pada skala sederhana susulan perbincangan dalam mesyuarat termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang meneliti cabaran semasa ekonomi global.
Beliau berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan penyelarasan perbelanjaan kerajaan, khususnya melibatkan penganjuran acara rasmi, bengkel serta program berskala besar.
-FN





