Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Hidroponik Bantu Penghuni Pusat Pemulihan Jana Pendapatan

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Kemahiran pertanian moden dilihat mampu menjadi antara medium terbaik membantu penghuni pusat pemulihan menjana pendapatan dan membina kehidupan baharu selepas tamat tempoh pemulihan.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pendang, Zainal Abidin Ismail berkata, latihan berkaitan penanaman hidroponik memberi peluang kepada pelatih menguasai kemahiran yang mempunyai potensi tinggi dalam sektor pertanian moden.

“Melalui kursus ini, para pelatih bukan sahaja memperoleh ilmu dan kemahiran baharu, malah diberi peluang meneroka bidang pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan mereka.

“Secara tidak langsung, ia dapat membantu meningkatkan taraf hidup serta memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali berdikari dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata demikian pada program latihan jangka pendek anjuran AADK Daerah Pendang dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Pendang yang melibatkan 100 penghuni Pusat Pemulihan Dadah dan Akhlak Nurul Sa’adah.

Program itu terbahagi kepada dua slot utama iaitu ceramah berkaitan penanaman hidroponik dan sesi amali yang dikendalikan tenaga pengajar daripada Pejabat Pertanian Daerah Pendang.

Menurut Zainal Abidin, bidang hidroponik mempunyai potensi besar untuk dijadikan sumber pendapatan berikutan permintaan terhadap hasil tanaman segar yang semakin meningkat.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu penghuni pusat pemulihan mengekalkan proses pemulihan, membentuk perubahan sikap positif serta mengukuhkan jati diri sebelum kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.

-AA-

Tinggalkan komen anda