
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 4 Mei (MalaysiaAktif) — Persekutuan Persatuan Teochew Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai tunjang utama dalam memelihara warisan budaya serta memperkasa jaringan komuniti di negeri ini.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata sumbangan organisasi tersebut amat signifikan dalam memastikan kelangsungan identiti Teochew yang merangkumi aspek bahasa, adat resam dan nilai tradisi.
Beliau menjelaskan bahawa persekutuan yang ditubuhkan sejak 1982 itu merupakan platform penting dalam membina kerjasama serta menyumbang kepada keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.
“Organisasi ini bukan sekadar wadah kebudayaan, malah menjadi penggerak kepada perpaduan dan pembangunan sosial ekonomi melalui penglibatan aktif pelbagai sektor,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Konvensyen Ke-19 Persekutuan Persatuan Teochew Sarawak, di sini kelmarin.
Menurut Doris, kewujudan persatuan tersebut mencerminkan semangat kesepakatan komuniti dalam menyelaras aktiviti pendidikan dan kebajikan yang merapatkan hubungan antara generasi.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkasa generasi muda agar terus menghargai warisan mereka di tengah arus pembangunan moden.
-RJ-





