
Laporan/Foto : Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 4 Mei (MalaysiaAktif) — Seramai 35 pelajar Islam Tahun 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing menyertai Kem Bina Insan 2026 yang bertujuan memperkukuh sahsiah dan jati diri berteraskan nilai-nilai Islam, di sini semalam.
Program yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman itu merupakan anjuran bersama Biro Perkhidmatan Majlis Islam Sarawak (BPMIS) dan pengurusan masjid berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi berkata pengisian program tersebut memberi penekanan khusus kepada pembentukan akhlak, pengukuhan akidah, serta penghayatan ibadah sebagai asas melahirkan generasi Muslim yang berilmu dan beriman.
Beliau berkata kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai khalifah perlu dipupuk sejak peringkat awal usia persekolahan agar mereka membesar dengan kefahaman agama yang syumul.
“Anak-anak ini perlu dididik bahawa mereka adalah insan istimewa yang dikurniakan akal untuk berfikir, hati untuk merasa, dan tubuh badan untuk beribadat.
“Matlamat kita adalah melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki disiplin diri yang tinggi, menjaga solat, serta memelihara adab dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan kem tersebut.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Program, Awang Maghrib Awang Ani berkata pendekatan bersepadu antara pihak masjid, agensi agama, dan fasilitator membolehkan pelajar memahami peranan mereka terhadap diri, keluarga, dan agama.
Beliau menyifatkan program tersebut memberi impak positif menerusi pengisian berbentuk motivasi dan kerohanian yang mampu mengangkat martabat modal insan di peringkat akar umbi.
“Usaha berterusan akan dilaksanakan bagi memperluaskan platform pembangunan insan seumpama ini demi melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia dan berdisiplin,” katanya.
-RJ-





