
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/Bolhan Hj Basah
MUKAH, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan ekonomi Sarawak secara lebih progresif dan mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pindaan tersebut yang antaranya menukar nama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak kepada Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) amat tepat pada masanya ketika Sarawak sedang melangkah ke era pembangunan ekonomi baharu yang lebih mencabar dan kompetitif.
“Dalam keadaan ekonomi global yang semakin dinamik, Sarawak memerlukan sebuah institusi pembangunan ekonomi yang lebih moden, cekap, fleksibel dan mampu bergerak pantas selari dengan aspirasi besar kerajaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030,” katanya ketika sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Royston berkata, Sarawak kini giat memacu pelbagai inisiatif strategik termasuk ekonomi hidrogen, tenaga hijau, ekonomi digital, pembangunan industri hiliran, keselamatan makanan, teknologi dan inovasi serta pembangunan modal insan.
“Maka sudah tentu institusi seperti SEDC juga perlu diperkasakan agar mampu memainkan peranan lebih besar sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penubuhan Sarawak Padi and Rice Board menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Sarawak Padi and Rice Board Bill 2026 bakal menjadi titik perubahan besar kepada pembangunan industri padi dan beras Sarawak.
“Ia membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak melihat isu makanan bukan hanya sebagai keperluan semasa, tetapi agenda strategik jangka panjang yang berkait rapat dengan kestabilan ekonomi, keselamatan wilayah dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Katanya, melalui penubuhan lembaga itu, pembangunan industri padi dapat disusun secara lebih sistematik, terselaras dan efektif mengikut keunikan geografi serta logistik Sarawak terutama ketika dunia yang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik geopolitik, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan makanan dan peningkatan kos import.
“Saya yakin Sarawak Padi and Rice Board akan menjadi pengubah landskap kepada transformasi industri padi Sarawak daripada sektor tradisional kepada industri agro moden berteknologi tinggi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.
-FN





