Skip to main content
Rencana & Pendapat

Kuala Rekang Muncul Hab Baharu Harum Manis di Kelantan

By 13 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)

BACHOK, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Kuala Rekang, Melawi muncul sebagai hab baharu pengeluaran mangga harum manis di Kelantan apabila lebih 40 pesara kakitangan awam termasuk guru mengusahakan tanaman tersebut secara berkelompok sejak 2019.

Inisiatif komuniti itu melibatkan penanaman lebih 3,000 pokok harum manis di atas tanah bekas tanaman tembakau yang sebelum ini terbiar, sekali gus membuka peluang pendapatan baharu melalui sektor pertanian bernilai tinggi.

Ketua pengusaha projek, Muhd Rudzuan Jusoh, 53, berkata usaha berkenaan tercetus hasil perbincangan bersama rakan sekampung sebelum dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan peserta.

“Kami memulakan penanaman menggunakan modal sendiri dengan membeli benih dari Perlis pada 2019 dan mengusahakannya secara berkumpulan,” katanya.

Beliau menjelaskan, faktor geografi di kawasan Bachok yang panas berpanjangan, berhampiran pantai serta mempunyai sumber air mencukupi menjadikan kawasan itu sesuai untuk tanaman harum manis, selain keadaan tanah beris yang menyokong pertumbuhan pokok.

Menurutnya lagi, maklum balas pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur mendapati rasa dan aroma harum manis keluaran Bachok setanding dengan hasil dari Perlis, dengan permintaan terhadap buah masak kuning dan buah hijau.

“Bagi bulan Mei tahun ini, hasil tuaian dianggarkan mencecah tiga tan, antara pengeluaran terbaik sejak projek dimulakan.

“Seluruh pengusaha berharap Kuala Rekang terus berkembang sebagai kawasan pengeluaran harum manis yang dikenali di Kelantan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan jualan terus dari ladang akan diadakan pada 16 Mei bermula jam 8.00 pagi, dengan tawaran pembelian lima kilogram pada harga RM100 serta peluang memetik sendiri buah harum manis.

-RI

Tinggalkan komen anda