
Laporan/Foto : Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di Pasaraya Kim Hock Mukah pagi ini menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat termasuk penduduk dari Dalat dan Balingian yang hadir bagi mendapatkan pelbagai keperluan harian pada harga lebih rendah.
Wakil Pengurus Kim Hock Supermarket Mukah, Siti Wahida Ahmad berkata, sambutan diterima amat memberangsangkan apabila pengunjung hadir dari pelbagai kawasan sekitar untuk mendapatkan tawaran harga menarik bagi keperluan asas.
“Kami menerima kehadiran orang ramai bukan sahaja dari sekitar Mukah tetapi juga dari kawasan berhampiran seperti Dalat dan Balingian, malah pihak pasar raya turut menyediakan ruangan yang lebih luas bagi memastikan keselesaan pengunjung ketika membeli-belah,” katanya kepada Malaysia Aktif hari ini.
Sementara itu, Pegawai KPDN Mukah yang menyelia PJRM, Rozita Abdul Wahab berkata program tersebut menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi pelbagai barangan asas seperti beras, minyak masak, telur, gula dan tepung dengan jumlah keseluruhan potongan dianggarkan mencecah RM20,000.
“Pelaksanaan PJRM ini secara tidak langsung membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup terutama dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat,” jelasnya sambil menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi e-COSS bagi pembelian minyak paket.
Salah seorang pembeli, Magdeline Rahani, 56, menyifatkan program tersebut amat membantu terutama kepada keluarga besar kerana mampu menjimatkan perbelanjaan harian.
“Program seperti ini sangat membantu terutama kepada golongan yang mempunyai keluarga besar kerana banyak penjimatan dapat dilakukan,” katanya.
Pasangan suami isteri, Cyril Aloysius, 56, dan Patsy Valentine Laiseh, 55, turut berharap program seumpama itu diteruskan kerana memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40, M40 dan T20.
-RJ-





