Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pesta Kaamatan Putatan Medium Kukuhkan Perpaduan Masyarakat Majmuk

By 17 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto : Sitti Jakiyah Abd Rahim / Asli Awang Damit (Putatan)

PUTATAN, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi platform menghargai adat dan budaya masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) malah turut menjadi medium memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata masyarakat di daerah Putatan khasnya telah lama hidup dalam suasana majmuk dan saling hormat menghormati sehingga berjaya mewujudkan kehidupan yang aman dan harmoni.

“Tanpa adanya sikap saling hormat menghormati dalam masyarakat kita, perpaduan tidak akan dapat dikecapi seterusnya kesejahteraan tidak akan dapat dirasai. Selaras dengan tema Kaamatan 2026 iaitu ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’, marilah kita bersama-sama terus menjaga perpaduan di daerah Putatan, negeri Sabah dan negara Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Putatan Tahun 2026 di Dewan Sri Putatan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa penganjur atas komitmen dan kerjasama menjayakan sambutan tersebut sekali gus menjadi wadah untuk melestarikan budaya dalam jiwa anak bangsa.

“Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat KDMR, sebaliknya merupakan simbol kesyukuran serta usaha memastikan adat resam dan budaya warisan terus subur diwarisi khususnya oleh generasi muda,” jelasnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda