
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Kejohanan Sepak Takraw Raja Libas Simanggang berada di landasan tepat untuk diangkat ke peringkat antarabangsa apabila mula menarik minat penyertaan pasukan luar negara termasuk dari Brunei dan Indonesia.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Sri Aman (PESTASA), Awangku Hafizi Awang Azahari berkata perhatian daripada negara jiran itu membuktikan potensi besar kejohanan tersebut sebagai acara sukan ikonik di Bahagian Sri Aman.
“Bagi edisi akan datang, kita merancang melakukan penstrukturan semula format pertandingan bagi membuka ruang penyertaan antarabangsa sekali gus mengangkat Raja Libas sebagai kejohanan bertaraf serantau,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan kejohanan itu, di sini hari ini.
Kejohanan itu katanya kekal menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda Sri Aman selari hasrat untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Bagi memastikan pembangunan atlet dilaksanakan secara profesional, PESTASA akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) serta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Awangku Hafizi menjelaskan pembangunan sukan sepak takraw perlu dilihat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti menerusi pemerkasaan sektor pelancongan sukan.
Beliau menambah sektor hospitaliti di daerah ini juga akan menerima impak positif sekiranya kejohanan bertaraf antarabangsa dilaksanakan secara konsisten.
-RJ-





