
Laporan/foto: Cathrine Jenah/Mohd Zaki (Bintulu)/JKR Sarawak
BINTULU, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Pembukaan Jambatan Sebauh sejak 5 Dis tahun lepas membuka peluang kepada pembangunan sosioekonomi lebih pesat khususnya di kawasan tersebut.
Penduduk Sebauh, Michael Augustine Lamoh, 36, berkata kewujudan jambatan itu membenarkan penduduk untuk tidak lagi bergantung kepada perkhidmatan feri untuk merentasi Batang Kemena yang hanya mampu membawa sekitar 24 kenderaan pada satu-satu masa.
“Jambatan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan daerah serta mempercepatkan mobiliti penduduk dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Michael, perjalanan ke Lapangan Terbang Bintulu kini hanya mengambil masa kira-kira 30 minit berbanding hampir sejam sebelum ini apabila mereka terpaksa melalui jalan Bandar Bintulu yang mengambil masa lebih lama.
Selain mempercepatkan perjalanan, pembukaan jambatan itu turut meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Kemudahan tersebut memudahkan urusan harian penduduk termasuk bagi tujuan pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan aktiviti ekonomi.
-RJ-





