
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor di Seksyen 17, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda pada pukul 10 pagi disambut Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah JKR Selangor Ir Shukri Ishak.
Menurut Shukri, Baginda turut meluangkan masa melawat bengkel-bengkel kenderaan di bawah Cawangan Kejuruteraan Mekanikal.
“JKR Negeri Selangor amat berbesar hati diberi peluang oleh kerajaan negeri Selangor untuk membina mercu tanda Selangor ini,” katanya di sini hari ini.
Shukri berkata kompleks berkenaan dibina dengan kos sebanyak RM36 juta bermula pada tahun 2015 dan siap pada Disember 2017.
“Kompleks serba moden ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan, bilik mesyuarat, makmal komputer, surau, serta parkir (tempat letak kereta) berbumbung solar.
“Ini merupakan mercu tanda komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan infrastruktur awam,” katanya.
-RI





