Skip to main content
Rencana & Pendapat

Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad Terus Jadi Tarikan Pengunjung

By 5 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)/Arkib Negara Malaysia Negeri Kedah

ALOR SETAR, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad terus menjadi tumpuan pengunjung khususnya pelajar yang ingin menyelami sejarah awal kehidupan tokoh negara itu.

Terletak di Jalan Seberang Perak, di sini, ia mula dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 20 Disember 1992.

Lokasinya yang strategik dan mudah diakses menjadikan rumah ini sebagai destinasi penting pelancongan sejarah di Kedah, sekali gus menarik kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara.

Merupakan kediaman asal dan tempat kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7, rumah bersejarah yang terletak berhampiran pusat bandar itu mempamerkan koleksi peribadi serta perjalanan hidup Mahathir.

Struktur kayu tradisional yang masih dikekalkan keasliannya turut berfungsi sebagai pusat rujukan sejarah yang memberi gambaran jelas kehidupan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Pelbagai bahan pameran disediakan untuk pengunjung termasuk gambar lama, dokumen peribadi serta maklumat berkaitan perjalanan hidup Mahathir dari zaman kanak-kanaknya hingga ke fasa kepimpinan negara.

Antara aktiviti yang menjadi tarikan ialah lawatan berpandu ke ruang dalaman rumah, pemerhatian susun atur tradisional serta penghayatan bahan pameran yang dipamerkan.

Lawatan ke rumah ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan sejarah, malah memberi inspirasi kepada generasi muda tentang nilai usaha, disiplin dan pendidikan dalam mencapai kejayaan, selaras dengan mesej bahawa setiap pencapaian besar bermula daripada langkah kecil yang penuh tekad.

-RI

Tinggalkan komen anda