Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sarawak Perkasa Pendidikan Inklusif, Buka Peluang Generasi Muda Luar Bandar

By 1 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

LINGGA, 1 Mei (MalaysiaAktif) — Usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif inklusif, khususnya bagi memastikan golongan luar bandar tidak tercicir daripada arus pendidikan berkualiti.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata Sarawak melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang menyediakan pendidikan percuma melalui pelbagai inisiatif dan bantuan khas kepada rakyatnya.

“Penubuhan kementerian khas berkaitan pendidikan oleh kerajaan negeri merupakan langkah strategik bagi memastikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dapat dinikmati oleh pelajar di seluruh pelosok Sarawak.

“Ini bukan sekadar meningkatkan taraf pendidikan, tetapi memberi peluang kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk terus melanjutkan pengajian tanpa kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penangguhan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pemerkasaan dan Kesihatan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lingga, di sini semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf, termasuk menanggung sehingga 50 peratus kos pengajian sebagai langkah meringankan beban keluarga.

Selain itu, pelajar cemerlang turut berpeluang menerima insentif khas sebagai galakan untuk terus mencapai kejayaan dalam bidang akademik, termasuk mereka yang menyambung pengajian di luar negeri.

Dalam usaha menarik minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), beliau memaklumkan kerajaan negeri merancang penubuhan pusat sains sebagai platform pembelajaran interaktif untuk generasi muda.

-RJ-

Tinggalkan komen anda