
Laporan/foto: Siti Aminah/Munir Aiman (Kinta)
IPOH, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Program Warga Emas Fit (WE FIT) memastikan kesejahteraan menyeluruh melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Dato’ Salbiah Mohamed berkata antara aktiviti tersebut ialah senamrobik, saringan kesihatan, analisis komposisi badan, ujian kekuatan otot serta ceramah kesihatan.
Selain itu, inisiatif seperti pemeriksaan PEKA B40, suntikan vaksin influenza serta Ujian HPV (Human Papillomavirus) dan kanser payudara menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan pencegahan.
“Ini amat penting bagi mengesan penyakit pada peringkat awal dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Dewan Komuniti Rumah Pangsa Jalan Hospital, di sini semalam.
Program yang menekankan gaya hidup yang sihat dan aktif dalam kalangan warga emas itu dianjurkan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) Rumah Pangsa Jalan Hospital (RPJH) Ipoh.
Seorang pengunjung, Noraini Ahmad, 62, berkata program itu memberi manfaat besar khususnya kepada golongan warga emas untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta maklumat berkaitan bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan.
“Program ini sangat membantu kami, lebih-lebih lagi warga emas yang jarang membuat pemeriksaan kesihatan. Banyak maklumat berguna juga dapat diperoleh di sini,” katanya.
-AA-






