
Laporan/foto: Nurathirah Abdullah/Unit Perhubungan Awam Hospital Sarikei (Sarawak)
SARIKEI, 2 Mei (MalaysiaAktif) – Hospital Sarikei melakar sejarah dengan penganjuran julung kali Kempen Saringan Kesihatan Lelaki ‘Sari-Creen’ Peringkat Negeri Sarawak berskala besar di daerah ini, hari ini.
Pengarah Hospital Sarikei, Dr. Mohamad Ng Siah Huat berkata, kempen tersebut merupakan platform penting bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap isu kesihatan lelaki yang sering dianggap sensitif.
Menurut beliau, golongan lelaki kerap meminggirkan kesihatan diri disebabkan faktor tanggungjawab dan sikap enggan mendapatkan rawatan awal di peringkat hospital.
“Ramai yang memilih untuk menahan sakit berbanding mendapatkan pemeriksaan awal, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan jangka panjang,” katanya ketika merasmikan kempen tersebut di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Sari-Creen merupakan pendekatan proaktif Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mendekatkan perkhidmatan kesihatan serta membuka ruang perbincangan terbuka mengenai kesejahteraan golongan lelaki.
Dr. Mohamad turut menyeru warga Sarikei agar memanfaatkan peluang saringan yang disediakan dan tidak berasa segan untuk berinteraksi dengan petugas perubatan profesional.
Salah seorang peserta, Cheng Tai Ping, 65, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah tepat dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan berkala mengikut faktor usia.
“Pemeriksaan kesihatan secara konsisten amat penting bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa terjaga terutama apabila usia semakin meningkat,” ujarnya.
Kempen tersebut menyasarkan seramai 200 peserta lelaki untuk menjalani saringan kesihatan sepanjang tempoh penganjurannya.
-RJ-





