Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Usahawan Sri Aman Disaran Manfaat Platform Digital Perkukuh Daya Tahan Perniagaan

By 2 Mei 2026Mei 4th, 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 2 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 100 usahawan tempatan di daerah ini disaran memanfaatkan platform digital sepenuhnya bagi memastikan perniagaan kekal relevan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata penggunaan media sosial seperti Facebook dan TikTok merupakan langkah strategik bagi memperluas pasaran produk ke peringkat lebih tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa usahawan perlu sentiasa melakukan penyesuaian terhadap perubahan teknologi serta trend terkini bagi memastikan kelangsungan perniagaan yang dijalankan.

“Usahawan perlu bersedia mendepani transformasi digital agar setiap perniagaan terus berkembang dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan penutupan Program SME Resilience & Change: Transformasi PKS, di sini semalam.

Program anjuran Pejabat Daerah Sri Aman dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga itu menghimpunkan pengusaha sektor makanan, kesihatan, pendidikan serta usahawan baharu.

Peserta didedahkan dengan sesi forum utama yang membincangkan peranan modal insan serta strategi menukarkan cabaran menjadi peluang perniagaan yang mampan.

Dayang Noorazah berkata program susulan iaitu Train the Trainers (TTT) akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan rakyat Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda