
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/UKAS
SRI AMAN, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Masyarakat Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat agama di media sosial berikutan lambakan kandungan yang diragui kesahihan serta sumber rujukannya.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata perkembangan teknologi dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) banyak membantu urusan harian, namun tidak boleh dijadikan sumber utama dalam memahami agama Islam.
Menurut beliau, AI hanya berperanan sebagai alat bantuan untuk mencari maklumat dan menyusun penulisan, tetapi tidak mampu menggantikan ilmu yang bersumberkan al-Quran, hadis sahih dan huraian ulama muktabar.
“Kita hidup pada zaman maklumat berada di hujung jari. Hari ini ramai berkongsi ilmu melalui media sosial dan AI, tetapi tidak semua yang disampaikan itu benar dan sahih.
“Sebab itu umat Islam jangan mudah menerima sesuatu tanpa tabayyun dan semakan daripada guru serta pihak yang berautoriti,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Seminar Korban 1447H Peringkat Bahagian Sri Aman di Dewan Khulafa Ar-Rasyidin, Masjid Bandar Sri Aman, di sini kelmarin.
Beliau turut menegaskan tradisi menuntut ilmu secara bertalaqqi atau berguru perlu terus dipelihara bagi memastikan kefahaman agama diperoleh secara tepat dan beradab.
“Tradisi bertalaqqi dengan guru ini telah diwarisi sejak zaman Rasulullah SAW lagi dan ia perlu terus dipelihara agar umat Islam tidak tersasar dengan maklumat yang mengelirukan,” ujarnya.
-RJ-





