Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Perarakan Niti Daun Semarak Budaya dan Perpaduan Sri Aman

By 17 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Iswandi Kassim (Sri Aman)

SIMANGGANG, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Program Perarakan Niti Daun Sri Aman 2026 bukan sahaja menyemarakkan suasana pra-Gawai di Bandar Simanggang, malah menjadi platform menyerlahkan keunikan budaya pelbagai etnik di Sarawak menerusi pakaian tradisional, dekorasi kreatif dan persembahan budaya.

Seramai 577 peserta daripada 23 kontinjen mewakili agensi kerajaan, sekolah, rumah panjang dan persatuan tempatan melibatkan diri dalam program anjuran Majlis Daerah Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman, di sini kelmarin.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie menyatakan program berkenaan memperlihatkan kekayaan budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini selain menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan.

“Ini merupakan salah satu cara untuk kita memperkayakan budaya masyarakat Malaysia yang sedia ada, di samping membantu masyarakat lain memahami tradisi dan budaya kaum Dayak yang menjadi inspirasi kepada perpaduan kita,” katanya.

Beliau berkata acara seperti itu bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi simbol sumbangan komuniti Dayak dalam pembinaan identiti negara yang berteraskan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat.

Acara dimulakan dengan upacara tradisional masyarakat Dayak ‘Miring’ sebelum disusuli ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abell Chendan.

Perarakan sejauh 2.2 kilometer itu melalui beberapa jalan utama di bandar Simanggang termasuk Jalan Sabu, Jalan Kim, Jalan Main Bazaar, Jalan Club, Jalan Resak, Jalan Foocow dan Jalan Paya sebelum berakhir di Jalan Council sekitar jam 9.20 pagi.

Dalam pertandingan sempena program itu, kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai DSP Neil Beginda memenangi Anugerah Kontinjen Berpakaian Terbaik kategori Kerajaan.

Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman muncul juara bagi kategori Sekolah, manakala kategori Rumah Panjang pula dimenangi oleh JKKK Ulu Undop pimpinan Tuai Rumah Tyrone Connie.

Persatuan Pengusaha Kraftangan Simanggang pula menjuarai kategori Persatuan/Kelab, sementara Tuai Rumah Tyrone Connie dan Elsie Lovia Aji dari Lingga masing-masing memenangi Anugerah Kostum Terbaik Perseorangan Lelaki dan Wanita.

Anugerah Plakard Paling Kreatif pula dimenangi Jabatan Tanah dan Survei.

-RJ-

Tinggalkan komen anda