Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Seminar TEKAD Tingkat Kesedaran Bahaya Dadah Dalam Organisasi

By 15 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Baling telah menganjurkan Program Seminar TEKAD – 7 Langkah di Bilik Seminar, Kompleks Rakan Muda Baling bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dalam kalangan agensi kerajaan dan sektor swasta.

Program ini menghimpunkan penyertaan wakil daripada 18 agensi kerajaan dan empat agensi swasta di daerah Baling.

Seminar berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran serta memberi panduan kepada organisasi dalam membangunkan dasar dalaman dan mekanisme pencegahan penyalahgunaan dadah di tempat kerja.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya berkata usaha pencegahan dadah memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

“Khususnya majikan dan organisasi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan produktif,” katanya, ketika berucap di sini kelmarin.

Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang seminar, antaranya perkongsian pelaksanaan TEKAD oleh AADK Negeri Pulau Pinang, penerangan mengenai pelaksanaan TEKAD di agensi kerajaan dan swasta, penyediaan draf polisi, penubuhan jawatankuasa dalaman serta sesi soal jawab bersama peserta.

Salah seorang peserta, Mohd Faizal Ahmad, 35, berkata seminar tersebut memberi pendedahan yang sangat bermanfaat kepada organisasi dalam memahami langkah-langkah praktikal untuk mewujudkan tempat kerja bebas dadah.

Menurut beliau, pelaksanaan Program TEKAD bukan sahaja dapat melindungi warga kerja daripada ancaman dadah, malah turut meningkatkan kesejahteraan, integriti serta produktiviti organisasi.

“Program ini membuka ruang kepada kami untuk menyediakan polisi yang lebih tersusun serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja tentang bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda