
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 33 warga prihatin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menderma darah bagi membantu menambah bekalan untuk kegunaan pesakit di Hospital Baling.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling DSP Ahmad Salimi Md Ali berkata Program Derma Darah dengan kerjasama Unit Perubatan Tranfusi (Unit Tabung Darah) hospital berkenaan mencerminkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan warga polis terhadap masyarakat.
“Program derma darah ini bukan sekadar aktiviti kebajikan, malah satu sumbangan besar yang mampu menyelamatkan nyawa. Saya amat menghargai komitmen warga IPD Baling yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Salah seorang penderma, Koperal Mohd Hafiz Abdullah, 49, berkata beliau berasa gembira kerana dapat menyumbang kepada masyarakat melalui program berkenaan.
“Setiap beg darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan. Saya berharap lebih ramai masyarakat tampil menderma darah kerana amalan ini sangat bermakna dan boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Program itu turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah, di samping memupuk sifat prihatin, semangat sukarela dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga IPD Baling serta masyarakat setempat.
Selain itu, program ini juga menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui pemeriksaan kesihatan yang dijalankan sebelum proses pendermaan.
-RI





