Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

SKILLBOX@Kelab Malaysiaku: Ini Kem Paling Seronok Saya Pernah Sertai – Peserta

By 10 Mei 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN

ALOR GAJAH, 10 Mei (MalaysiaAktif) – “Ini adalah kem yang paling seronok yang pernah saya sertai sepanjang bersekolah,” kata salah seorang peserta Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung, di Kem Permata Resort, bermula Jumaat hingga hari ini, di sini.

Nur Qalrina Shamsuri antara 500 peserta SKILLBOX@Kelab Malaysiaku menimba pelbagai ilmu menarik dalam bidang komunikasi menerusi program berkenaan yang menyasarkan pengukuhan sahsiah dan insaniah murid sekolah menengah.

Nur Qalrina Shamsuri, 19, dari Sekolah Menengah Iskandar Shah, Jasin merupakan salah seorang daripada 500 peserta program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu yang menyasar untuk memperkukuh sahsiah diri serta meningkatkan kemahiran insaniah murid.

Bagi Qalrina, walaupun dikumpulkan di satu tapak perkhemahan sepanjang program berlangsung, para peserta tidak berasa terkurung kerana pengisian aktiviti yang interaktif, santai dan dekat dengan minat generasi Z sepertinya berjaya mewujudkan suasana menyeronokkan serta penuh keterlibatan.

“Tidak ada rasa penat. Sebelum ini kalau saya sertai kem-kem lain saya rasa macam nak cepat balik. Tapi SKILLBOX ini lain. Saya seronok dengan modul-modulnya yang pelbagai.

“Pelbagai modul menarik disediakan selain JAPEN turut membawakan pempengaruh terkenal yang diminati anak muda. Keseluruhannya, pengisian program ini kena dengan jiwa anak muda macam kami Generasi Z,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.

Program kali keempat ini diadakan pada skala yang lebih besar berbanding pelaksanaan tiga siri sebelumnya iaitu pada tahun 2021, 2022 dan 2024 melalui kerangka tiga modul iaitu komunikasi, kepimpinan dan jati diri serta kenegaraan dan patriotisme.

JAPEN kali ini membawakan antaranya pempengaruh kembar terkenal negara, Amin dan Abid, atau lebih terkenal dengan jolokan ‘Phineas and Ferb’ Malaysia bagi slot Interaktif@Influencer yang memberi pendedahan kepada elemen inovasi DIY (Do-It-Yourself).

Manakala, segmen Road to Varsity menampilkan dua figura tutor selebriti terkenal dengan moto ‘Education Must Win’, Sir Fathi dan Sir Badang yang bermatlamat mempersiapkan peserta untuk melangkah ke menara gading.

Qalrina berkata bengkel pengurusan acara, pengacaraan majlis serta Mobile Journalism (MOJO) & Copywriting juga merupakan antara yang menarik kerana telah membuka matanya mengenai kepentingan ilmu komunikasi yang pelbagai.

“SKILLBOX keseluruhannya beri apa yang peserta perlu tahu dan saya berharap program sebegini boleh diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Muhammad Haziq Nazrin berhasrat memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya menerusi SKILLBOX@Kelab Malaysiaku untuk menambah baik kualiti pembikinan kandungan media sosialnya.

Sementara itu, Muhammad Haziq Nazrin, 15, dari SMK Seri Tangkak berkata dia pada awalnya tertanya-tanya apakah sebenarnya SKILLBOX setelah menjadi antara 10 pelajar yang terpilih sekolahnya ke program berkenaan.

Namun, seperti Qalrina, Haziq juga menerima pendedahan baharu mengenai luasnya bidang komunikasi terutama menerusi segmen MOJO yang dikendalikan kakitangan JAPEN iaitu Abu Huzaifah Abu Ghani dan Nor Fakruddin Ab. Rashid.

“Saya memang suka edit video, jadi program ini banyak membantu saya faham tentang ilmu komunikasi dan cara hasilkan kandungan dengan lebih baik. Insya-Allah saya akan gunakan ilmu yang diperoleh di sini untuk hasilkan kandungan di media sosial dengan lebih berkualiti,” katanya.

Sebagai nilai tambah, majlis perasmian penutupan hari ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar sebagai latihan praktikal dalam pengurusan majlis dan kepimpinan berdasarkan modul yang telah dipelajari.

-FN

Tinggalkan komen anda