
Laporan/foto: Nur Rezwane/Facebook Chow Kon Yeow
BUKIT MERTAJAM, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda pemeliharaan warisan menerusi pelbagai inisiatif strategik selari dengan gagasan Visi Penang2030 bagi memastikan pembangunan dan warisan bergerak seiring.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata warisan negeri merupakan aset strategik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pulau Pinang telah mencapai 90 peratus sasaran Inisiatif Strategik B3 termasuk kejayaan membangunkan 10 produk destinasi antarabangsa baharu, selain mencatat tahap kepuasan pelancong sebanyak 85.2 peratus.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4.3 juta bagi melaksanakan 10 projek fizikal utama di kawasan warisan termasuk kerja pemulihan serta pembangunan GTH-Relic yang kini berada pada fasa akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kenduri Warisan sempena Majlis Pengisytiharan Warisan Negeri Tahun 2026 di Mengkuang Titi, di sini semalam.
Pada majlis sama, sebanyak 28 makanan warisan, 15 tapak warisan dan tujuh warisan kebudayaan tidak ketara turut diisytiharkan sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang.
-AA-





