Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JIM Johor Tahan 27 PATI Dalam Operasi Premis Makanan

By 10 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 27 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa premis makanan sekitar Johor Bahru, kelmarin.

Pengarahnya Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dijalankan hasil risikan, pemantauan serta aduan awam berhubung kegiatan majikan tempatan yang dipercayai menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan serta pas yang sah.

“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap pekerja asing dan majikan bagi mengesan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas serta bekerja tanpa permit sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati seramai 27 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Nepal serta enam wanita warga Myanmar berusia antara 19 hingga 46 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak,” katanya.

Menurut Mohd Rusdi, kesemua individu terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, semua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

-AA-

Tinggalkan komen anda