Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sukan Rakyat Eratkan Perpaduan Penduduk Setempat

By 17 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fikri Johari (LMS)/Pejabat Belia dan Sukan Daerah Larut Matang

BUKIT GANTANG, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Penganjuran program sukan rakyat berjaya menyatukan penduduk setempat menerusi pelbagai aktiviti santai dan menarik yang diadakan dalam suasana penuh meriah serta harmoni.

Pegawai Belia dan Sukan Larut Matang Syahirah Kunji Mohammed berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai peringkat usia.

“Antara acara sukan rakyat yang dipertandingkan ialah tuju tin, boling padang menggunakan kelapa, lompat dalam guni dan melastik tin.

“Aktiviti tersebut bukan sahaja mencuit nostalgia permainan tradisional malah berjaya mewujudkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan peserta,” katanya selepas program One Stop Centre di Padang Astaka Bukit Gantang, di sini semalam.

Beliau berkata penganjuran program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium memperkukuh perpaduan komuniti serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelbagai pengisian menarik turut diadakan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, program gunting rambut percuma serta pameran jabatan dan agensi yang berkaitan.

Dalam pada itu, Jualan Rahmah MADANI dan Pasar Sejahtera Rakyat turut menjadi tumpuan orang ramai apabila pelbagai barangan keperluan harian ditawarkan pada harga berpatutan.

-AA-

Tinggalkan komen anda