
Laporan/foto: Nurhawa Baizura/Mohd Affendy (Beaufort)
BEAUFORT, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort memperkukuh peranan lima pasukan Bomba Komuniti membabitkan 50 sukarelawan sebagai barisan hadapan pencegahan kebakaran, semalam.
Pegawai Operasi BBP Beaufort Mohd Hairul Musli berkata pasukan tersebut meliputi dua di Kampung Takuli Ladang Nenas serta masing-masing satu di Kampung Suasa, Balibata dan Bangkalalak.
“Bomba Komuniti ialah pasukan sukarela yang dilatih untuk bertindak sebagai responden pertama dalam kecemasan di peringkat komuniti,” katanya.
Hairul menjelaskan usaha itu bertujuan memperluas jaringan responden pertama bagi melakukan tindakan awal sebelum bantuan profesional tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menekankan aspek kebajikan bagi menjamin kesejahteraan fizikal serta psikososial anggotanya.
Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB), Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) serta Persatuan Kebajikan JBPM.
“Antara inisiatif di bawah KWKB ialah pinjaman pendidikan sehingga RM10,000 kepada pegawai yang melanjutkan pengajian menggunakan pembiayaan sendiri,” katanya.
Beliau menambah pampasan ex-gratia turut disediakan kepada anggota atau pesara yang mengalami kemalangan ketika menjalankan tugas rasmi.
Kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta bagi penyediaan kemudahan kebajikan, sukan serta penyelenggaraan di balai bomba seluruh negara.
Langkah tersebut diharap dapat meningkatkan motivasi warga kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
-RJ-





