
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Khairul Annuar (Johor)
JOHOR BAHRU, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan Op Mega Bersih (Xtra Clean) selama seminggu di Jalan Meldrum, di sini.
Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad berkata inisiatif bersepadu itu dirangka bagi meningkatkan piawaian kebersihan negeri ke tahap antarabangsa setanding bandar raya maju dunia.
“Op Mega Bersih turut menjadi strategi Quick Win utama SWCorp dalam menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 serta merealisasikan aspirasi Bandar Bersih Johor 2030.
“Operasi ini melibatkan 17 lokasi tumpuan di seluruh Johor termasuk kawasan pelancongan dan lokasi tumpuan orang ramai,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.
Zainal Fitri, berkata operasi berkenaan bukan sekadar rutin pembersihan biasa, sebaliknya merupakan pendekatan holistik ke arah merealisasikan konsep Zero Visible Litter menerusi pembersihan intensif, pemantauan berterusan, penguatkuasaan serta kempen kesedaran awam.
Menurutnya, seramai 30 anggota terlibat dalam operasi di sekitar Johor Bahru manakala kira-kira 100 anggota secara keseluruhan digerakkan di seluruh daerah di Johor bagi memastikan setiap lokasi tumpuan berada dalam keadaan bersih dan terpelihara.
Beliau turut menyeru masyarakat, peniaga dan komuniti setempat supaya bersama-sama menjadikan kebersihan sebagai budaya dan tanggungjawab bersama.
-AA-





