
Laporan/foto: Khairul Shahrizal Ismail (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Gaya hidup aktif penting sebagai benteng utama dalam mendepani cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD), kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan Faisal Ismail.
Beliau berkata Program ‘Langkah Sihat, Seribu Harapan’ bukan sekadar aktiviti fizikal, malah ia adalah platform terbaik membina komuniti yang lebih cakna terhadap kesejahteraan diri selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan produktif.
“Program di peringkat akar umbi ini juga mampu memperkukuh integrasi nasional serta berharap dijadikan acara tahunan bagi memastikan momentum budaya hidup sihat terus subur dalam kalangan warga Kuala Selangor,” katanya ketika merasmikan program ‘Langkah Sihat, Seribu Harapan’ di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Ijok, di sini semalam.
Program seawal 7 pagi itu menyatukan komuniti setempat menerusi penyertaan penduduk pelbagai lapisan usia bagi menyertai acara fun walk (berjalan kaki) sejauh empat kilometer.
-RI





