Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tang Soo Do Bentuk Disiplin, Jati Diri Belia

By 2 Mei 2026Mei 4th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 2 Mei (MalaysiaAktif) — Penguasaan asas seni mempertahankan diri merupakan langkah persediaan penting bagi mendepani cabaran keselamatan serta pembentukan jati diri masyarakat masa kini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, penglibatan dalam seni seperti Tang Soo Do mampu melahirkan individu yang lebih berdisiplin, berkeyakinan serta mempunyai kawalan emosi yang stabil.

Beliau menjelaskan bahawa keutamaan seni tersebut adalah aspek pencegahan dan keselamatan yang mengajar pengamalnya untuk mengelak konflik serta bertindak secara rasional.

“Asas seni mempertahankan diri membolehkan seseorang lebih bersedia dari segi fizikal dan mental untuk melindungi diri dalam situasi tidak dijangka,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Tang Soo Do Antara Bahagian 2026, di sini hari ini.

Menurut Doris, latihan konsisten dalam disiplin ini turut menekankan kesedaran situasi serta keupayaan membuat keputusan tepat dalam keadaan tertekan.

Beliau menambah, pendekatan tersebut selari dengan usaha kerajaan dalam membentuk generasi belia yang seimbang dari aspek emosi dan mental bagi menjauhi pengaruh negatif.

“Seni ini mendidik kita untuk bertindak secara terkawal, menghormati undang-undang serta mengutamakan keselamatan diri dan orang sekeliling,” ujarnya.

Doris turut berharap agar aktiviti seumpama itu terus diperkasa bagi melahirkan komuniti yang lebih berdaya tahan dan bersatu padu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda