Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tuhau Queyun Enterprise Tembusi Pasaran Korea, New Zealand

By 21 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Suhaila Batun (Tuaran)

TUARAN, 21 Mei (MalaysiaAktif)– Produk makanan tradisional Sabah berasaskan tuhau keluaran Queyun Enterprise kini menembusi pasaran Korea dan New Zealand.

Pengasasnya, Nurul Fatihah Jeffrdin berkata kejayaan itu membuktikan produk tradisional Sabah mempunyai nilai komersial tinggi dan mampu bersaing di luar negara.

“Antara produk paling mendapat sambutan ialah sambal tuhau ikan bilis.

“Selain pasaran tempatan, produk kami turut dibeli rakyat Sabah yang menetap di luar negara melalui platform dalam talian seperti Shopee, TikTok Shop dan Agrobazaar.

“Permintaan terhadap produk berasaskan tuhau juga semakin meningkat selaras dengan perkembangan pasaran makanan tradisional tempatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Nahirot, hari ini.

Menurut Nurul, proses pengeluaran tuhau syarikatnya kini menggunakan mesin bagi meningkatkan kapasiti dan memastikan kualiti produk sentiasa terjamin.

“Bahan mentah pula diperoleh daripada penduduk kampung sekitar sebagai usaha menyokong ekonomi komuniti setempat,” ujarnya yang memaklumkan syarikatnya mula menjalankan pengeluaran tuhau bermula 2015.

Sementara itu, pengunjung, Mohd Farid Abdul Ahmad, 41, berkata produk makanan tradisional Sabah mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke pasaran lebih luas kerana keunikan rasanya.

“Tuhau bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi masyarakat, malah memperkenalkan identiti budaya Sabah kepada dunia luar,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Queyun Enterprise turut membantu meningkatkan ekonomi luar bandar dengan membantu individu yang mahu memulakan perniagaan sendiri menggunakan produk tuhau di bawah jenama masing-masing.

-RJ-

Tinggalkan komen anda