
Laporan/foto: Hamidah Len/UMS (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Fujifilm Malaysia bagi penubuhan Pusat Latihan Endoskopi HUMS.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata kerjasama strategik itu menjadi langkah penting memperkasakan pendidikan dan latihan perubatan selaras perkembangan teknologi kesihatan global.
“UMS dan HUMS dapat memperkasakan latihan klinikal khususnya dalam bidang endoskopi menerusi sokongan kepakaran industri dan teknologi terkini,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Mohd. Noh sempena majlis menandatangani MoA tersebut di Pusat Perubatan Primer, HUMS pada Selasa lalu.
Kasim berkata pusat latihan tersebut akan menjadi platform perkongsian ilmu, penyelidikan bersama serta penganjuran bengkel melibatkan tenaga akademik dan pakar industri.
Kerjasama itu juga katanya turut membuka peluang kepada kakitangan perubatan menjalani latihan di luar negara selain membawa kepakaran antarabangsa ke universiti berkenaan.
Melalui kerjasama tersebut, HUMS menerima geran pendidikan bernilai RM40,000 bagi menyokong aktiviti akademik serta pembangunan profesional.
Sementara itu, Pengarah Urusan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd., Kensuke Aragane berkata penubuhan pusat itu bertujuan menyokong HUMS sebagai hab kecemerlangan endoskopi di Sabah.
“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada latihan dan aktiviti penyelidikan bagi memastikan teknologi perubatan terkini dapat dimanfaatkan secara optimum,” katanya.
-RJ-





