Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Vape Kini Jadi ‘Musuh Halimunan’ Belia

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kasmini Hasbi/Mohamad Farid Izwan Drahman (Sarawak)

KUCHING, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Penggunaan vape yang semakin popular dalam kalangan remaja dan belia kini dilihat berpotensi menjadi “musuh halimunan” yang membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah sintetik.

Penolong Pengarah Rawatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak, Ahmad Fikri Arif Muhamad Fuat berkata vape kini malangnya sukar dikenali sebagai ancaman kerana berbentuk moden, bau harum dan pelbagai perisa menarik sekali gus ramai menganggapnya lebih selamat berbanding rokok biasa.

“Namun, terdapat vape yang disalahgunakan dengan campuran bahan psikoaktif dan dadah sintetik sehingga boleh membawa kepada ketagihan serta menjejaskan kesihatan mental dan emosi pengguna, khususnya golongan remaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual Program Influencer@JAPEN yang berlangsung semalam di Ibu Pejabat AADK Sarawak, baru-baru ini.

Beliau berkata trend “stealth vaping” atau penyamaran peranti vape sebagai pen, jam tangan dan pemacu USB menjadi cabaran baharu kepada ibu bapa serta pihak sekolah.

Sehubungan itu, AADK katanya terus memperkukuh usaha pendidikan, pencegahan dan kesedaran masyarakat melalui kerjasama bersama sekolah, komuniti dan pelbagai agensi berkaitan.

Beliau dalam masa sama menyeru masyarakat agar tidak memandang ringan isu vape kerana ia mampu memberi kesan terhadap kesihatan, pendidikan dan masa depan generasi muda.

“Jangan anggap vape sekadar trend semasa. Katakan tidak kepada vape dan dadah demi masa depan yang lebih sejahtera,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda