Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

Wanita Diperkasa Sokong Aspirasi Melaka Geopark

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Surega Vasuthevan (Melaka Tengah)

MELAKA, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Melaka terus komited memperkasakan peranan golongan wanita dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap pemeliharaan warisan geologi, biodiversiti serta pembangunan lestari menerusi Program Kesedaran Awam Kepada Komuniti Wanita ASPIRING Melaka Geopark.

Program anjuran Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia (BKMPB), Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) itu bertujuan memberi pendedahan mengenai usaha pembangunan Melaka Geopark serta peranan komuniti wanita dalam menyokong aspirasi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata Melaka Geopark merupakan aset penting negeri yang bukan sahaja kaya dengan nilai geologi dan alam semula jadi, malah menjadi lambang identiti, sejarah serta warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan, malah meningkatkan kesedaran masyarakat setempat khususnya golongan wanita sebagai kumpulan penting dalam memartabatkan kawasan geopark di negeri ini melalui penglibatan dalam pelancongan geopark, ekonomi kreatif serta perusahaan kecil yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup program tersebut di sebuah hotel, di sini semalam.

Tambah beliau, program itu diharap dapat melahirkan lebih ramai komuniti wanita yang cakna terhadap pemeliharaan alam sekitar sekali gus menyokong usaha kerajaan negeri merealisasikan aspirasi pengiktirafan Melaka Geopark.

-FN

Tinggalkan komen anda