Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Fasiliti RM250 Juta Mahsuri Food Sasar Lonjak Eksport Halal Negeri Sembilan

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Sarani/Media MBNS (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 22 Mei (MalaysiAktif) – Dasar ekonomi dan perancangan infrastruktur strategik Kerajaan Negeri Sembilan terus membuahkan hasil dengan pembukaan kilang baharu Mahsuri Food Sdn. Bhd. bernilai RM250 juta di Bandar Enstek, hari ini.

Kejayaan ini membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan negeri dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan berskala besar yang stabil dan diyakini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, berkata pelaburan berimpak tinggi itu sangat penting bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta membangunkan modal insan di negeri tersebut.

Aminuddin menyampaikan ucapan perasmian di atas pentas utama pelancaran kilang baharu Mahsuri Food Sdn. Bhd.

“Pelaburan ini dijangka membuka sekitar 200 hingga 250 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Ini membuktikan kita tidak sekadar mengejar angka pelaburan, malah mahu meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam bidang operasi, teknikal, kawalan kualiti serta R&D (Penyelidikan dan Pembangunan),” jelasnya ketika majlis perasmian tersebut.

Tambah beliau, pembukaan fasiliti yang dilengkapi teknologi automasi moden itu selari dengan wawasan negeri untuk muncul sebagai peneraju utama industri makanan halal di peringkat antarabangsa.

Ia bukan sahaja memperkukuh rantaian industri halal tempatan, malah bakal melonjakkan lagi nama Negeri Sembilan dalam pasaran eksport global yang semakin pesat.

Kerajaan negeri optimis pembukaan kilang ini akan menjadi pemangkin untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, sekali gus memacu kemampanan ekonomi Negeri Sembilan secara berterusan.

-RI

Tinggalkan komen anda